Pages

CINTA



Ramai mentafsir pelbagai definisi cinta, ada yang berbunga ada yang berhempedu. Setiap manusia mempunyai presepsi dan tindak balas mengenai cinta, maksud cinta, sifat cinta dan lain-lain mengenainya. Bahkan, hampir separuh masa hidup manusia dipenuhi dengan elemen cinta, ada yang sibuk mengurus cintanya, dan tidak kurang pula dengan manusia yang berusaha mendapatkan cintanya. Dikala, jarum saat bergerak menghitung hari, putik putik cinta antara manusia terus terjalin. Cinta amat sukar untuk dirungkai, ianya bersifat sulit serta sukar mentafsir elemen-elemen yang terdapat dalam cinta.

Cinta adalah umum, ianya berkait rapat dengan sifat sayang dan kasih yang tersemat dalam hati manusia. Keindahan dan kebahagiaan cinta itu dapat dirasai melalui sejauhmana elemen percintaan itu dialami. Hidup diatas muka bumi yang dipenuhi dengan pelbagai ciptaan Tuhan seperti haiwan & tumbuh-tumbuhan dikelingi oleh elemen percintaan. Melalui elemen cinta, terjalin ikatan sayang dan kasih atas ciptaan ini, seperti manusia memelihara haiwan kesukaan dan menanam bunga-bungaan. Sudah pasti, rasa bahagia terjalin pada keadaan tersebut dan ini ialah salah satu elemen cinta. Hati akan kosong jikalau tidak semai dengan elemen percintaan, dan keikhlasan sudah pastinya pudar, apatah lagi kebahagiaan, pasti tidak dapat dinikmati dengan sepenuhnya. Hal ini, akan membuat jiwa rasa suram yang boleh mengakibatkan rasa lemah, malas dan tekanan.

Kewujudan tahap cinta itu boleh diukur melalui sejauhmana pengorbanan yang dilakukan pada cinta, kerana cinta itu memerlukan tindak balas antara dua, tiga atau lebih yang terlibat. Terdapat golongan yang begitu taat kepada perintah Tuhan, melapangkan masa mereka untuk melaksanakan segala suruhan Tuhan dan menahan kehendak mereka daripada melanggar perintah Tuhan. Ini adalah contoh, golongan yang mempunyai tahap cinta yang tinggi kepada Tuhan. Selain itu, ada juga manusia yang berkorban melakukan apa sahaja untuk membuktikan rasa cinta mereka kepada manusia yang mereka cintai. Kesan daripada, setiap manusia mempunyai presepsi yang berbeza mengenai cinta dan bagaimana untuk menikmatinya, mereka menghadapi serta melalui jalan cinta yang berbeza. Ada yang berduka, ada yang gembira, ada yang terkandas, ada yang hilang arah.

Pokoknya, cinta itu umum. Dan ianya adalah sifat semulajadi yang ada pada setiap makhluk yang bernyawa. Cinta tidak tertumpu kepada satu titik ruang kehidupan dan tidak terhad digarisan sempadan. Ianya boleh berlaku secara spontan atau dirancang. Oleh kerana, cinta itu adalah sifat semulajadi yang ada pada manusia, ianya bergantung penuh kepada amalan untuk kita mengatur dan mengurus cinta. Ini adalah bukti mengapa dalam seruan agama, ilmu itu membatasi segalanya. Kerana ilmu dapat membantu secara langsung kepada tindakan dalam urusan percintaan. Manusia, yang bercinta tidak disertai oleh ilmu, sudah pasti elemen percintaan akan pudar. Sebaliknya, apa yang dilakukannya adalah perbuatan yang merosakkan jiwanya sendiri. Seperti manusia yang terlalu leka dibuai keseronokkan nafsu, hanya akan mendapat kebinasaan seperti rosaknya moral dan hilang tujuan hidup. Akhirnya, mereka mendakwa bahawa percintaan mereka gagal. Tetapi sebenarnya, mereka tidak ada ilmu yang cukup dalam mengawal sifat cinta.

qazar.



0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...