Pages

Menjawab Dialog yang bersifat FITNAH & DUSTA atas nama SUFI oleh Mohd Hairi Nonchi.

KEPADA MOHD HAIRI NONCHI. Saudara seIslam, disini saya ingin menjawab  dialog yang bersifat FITNAH & DUSTA atas nama SUFI. Untuk pertama sekali, saya tidaklah menganggungkan para SUFI sehingga saya mencela Hairi Nonci, jauh sekali saya bersifat sedemikian,

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.”
(Surah al-Hujuraat 49:10)

Nabi SAW. bersabda maksudnya : "Barang siapa berpecah belah, maka dia bukanlah dari golongan kami (bukan umat Nabi Muhammad SAW). Rahmat Allah berada bersama-sama dengan jemaah dan sesungguhnya serigala hanya akan memakan kambing yang menyendirikan diri."
 (Hadis Riwayat Tabarani)

Namun, saya ingin menjawab dialog beliau, agar perselisihan antara orang islam dapat dielakkan dan perpecahan serta pergaduhan tidak akan timbul ditengah tengah umat islam pada hari ini, khususnya di Malaysia.

"Yang paling dikasihi oleh Allah di antara kamu adalah : mereka yang baik akhlak, yang merendahkan sayapnya (diri), yang suka dengan orang dan yang disukai orang. Manakala yang dimurkai oleh Allah adalah : mereka yang pergi membawa fitnah, yang menceraiberaikan di antara saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah akan kesalahannya"
(Hadis riwayat Tabharani dan Abu Hurairah r.a.)




1.      Dialog berkenan adalah mengenai tawassul, dimana maksud tawassul ada mengambil perantara bagi mencapai sesuatu tujuan. Sesuatu tujuan itu tidak dapat dicapai melainkan dengan perantaran yang betul.  Antara tawassul yang disepakati menurut Prof Dr Yusuf Al Qardhawi ada 4.

                           I.          Tawassul kepada Allah S.w.t dengan Zat-Nya.
                         II.          Tawassul dengan Nama dan Sifat Allah S.w.t
                        III.          Tawassul dengan Amalan soleh.
                        IV.          Tawassul dengan Pemuda Soleh supaya menyeru Manusia beriman.

2.      Dan terdapat Tawassul yang mempunyai khilaf dikalangan para ulama. Yaitu, tawassul kepada Allah s.w.t dengan zat Nabi Muhammad s.a.w , para nabi malaikat, ataupun orang soleh.

Orang yang menggunakan tawassul ini dengan meminta kepada Allah S.w.t dengan kemuliaan, hak, ataupun dengan pangkat Nabi yang dikurniakan oleh Allah kepada baginda. Mereka meminta supaya menjamin permintaan dan memberi apa yang diminta. Seperti di Syafaatkan di akhirat kelak.

Imam Hasan Al-Banna ,mengatakan, “Doa yang disertakan dengan tawassul kepada Allah S.w.t melalui satu daripada penciptaan-Nya. Ini menjadi khilaf pada masalah cabang (farii) dalam menyatakan cara beramal dan bukan semua masalah akidah.”Akibat daripada pendapat imam hasan al-banna ini, telah menimbulkan kemarahan golongan salaf.

Sepatutnya, masalah ini tidak perlu diperbesarkan sehingga mencetuskan pergaduhan dan pertelingkahan serius dikalangan orang islam. Dan, Imam Hasan Al-Banna mengingkatkan, “ini adalah urusan khilafiah antara imam-imam dan khilaf itu daripada aspek cara-cara berdoa. Ia bukan masalah akidah.

Perbahasan mengenai ini sudah jelas dalam kitab kitab 4 mazhab (Hanafi,Maliki,Syafi & Hanbali). Ramai antara mereka yang mengharuskan tawassul dengan rasul dan orang soleh dalam kalangan hamba Allah S.w.t. Meskipun begitu, terdapat juga kumpulan yang menentang dan mempunyai hujah mengenai hal ini, mereka menolak seperti yang berlaku dalam masalah khilafiah.

Tawassul adalah berkaitan dengan amalan,bukannya berkaitan dengan akidah. Tawassul adalah perbahasan ilmu fiqh, bukan tauhid. Dan antara imam salaf yang mengharuskan tawassul ialah imam As-Syaukani.

Berkata al-Imam al-Hafiz al-Darimi di dalam kitabnya al-Sunan, bab kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW selepas kewafatannya: Pada suatu masa, penduduk Madinah ditimpa kemarau yang dahsyat. Maka mereka mengadu kepada Sayyidah Aisyah RA, lalu Sayyidah Aisyah RA berkata, “Perhatikanlah makam Rasulullah SAW. Maka buatlah sebuah tingkap menghadap ke arah langit hingga tiada satu atap yang menghalang di antara maqamnya dengan langit.”

Aus ibnu Abdullah berkata: “Maka mereka pun membuat tingkap tersebut. Lalu selepas itu, kami diturunkan hujan hingga rumput-rumput tumbuh dengan subur dan unta-unta menjadi gemuk, (seolah-olah) badannya pecah kerana banyaknya lemak. Maka tahun itu dinamakan Tahun al-Fatq (binatang gemuk dan berlemak) (Sunan al-Darimi Jld 1, H: 43).”

Al-‘Allaamah al-Faqiih Zain bin Ibrahim Bin Sumaith. Dalam karyanya yang berbentuk soal-jawab yang berjudul “al-Ajwibah al-Ghaaliyah”, beliau (hafizahUllah) menjelaskan berhubung persoalan ini. Pada halaman 77 – 79, beliau menulis:-

S: Jika bertawassul dengan orang-orang yang telah meninggal itu hukumnya jaiz (harus), maka kenapakah Khalifah ‘Umar bin al-Khaththab bertawassul dengan Sayyidina ‘Abbas dan bukannya dengan Junjungan Nabi s.a.w.?

J: Telah menjawab para ulama : Adapun tawassul Sayyidina ‘Umar r.a. dengan Sayyidina ‘Abbas r.a. bukanlah dalil yang menunjukkan ketidakharusan bertawassul dengan orang yang telah wafat meninggal dunia. Bahawasanya tawassul Sayyidina ‘Umar dengan Sayyidina ‘Abbas dan bukannya dengan Junjungan Nabi s.a.w. adalah untuk menjelaskan kepada manusia bahawa tawassul dengan selain Junjungan Nabi s.a.w. adalah harus yakni boleh (jaiz) dan tidak apa-apa (yakni tidak berdosa). Dan dikhas bertawassul dengan Sayyidina ‘Abbas r.a. daripada sekalian sahabat adalah untuk menzahirkan kemuliaan keluarga Junjungan Rasulullah s.a.w.

Dr Yusuf Al Qardhawi berkata; “Bahkan ijtihad menyatakan, harus bertawassul.” Beliau, menghurai pandangan Al Imam Ibnu Tamiyyah dalam permasalahan ini, “ beliau tidak melarang tawassul melainkan penulis lebih suka kepada sesuatu yang disepakati dan lebih baik. Justeru, beliau tidak mengingkari pada masalah khilaf.”

Syeikh ibnu wahab yang dikenali dengan ketegasan dan syadid, berkata; “Kami melihatnya (apa yang berkaitan dengan tawassul ini) dengan mengatakan bahawa kami tidak melarang sesiapa yang melakukannya.” Juga Imam Ibnu Tamiyah,walaupun menolak tawassul, beliau tidak terlalu syadid sehingga ke tahap mengkafirkan ataupun mengatakan ia berdosa.

Berkata Syeikh Ibnu Taimiyyah di dalam kitabnya Qa’idah Jalilah fi al Tawassul wa al Wasilah (H: 5) ketika membicarakan tentang firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan carilah wasilah (jalan/perantara) untuk mendekatkan diri kepadaNya.” (Al-Maaidah: 35),

“Mencari wasilah kepada Allah hanya berlaku bagi orang yang bertawassul kepada Allah dengan keimanan terhadap Nabi Muhammad SAW dan ikutan terhadap Sunnahnya. Bertawassul dengan keimanan dan ketaatan kepada Baginda SAW, merupakan kefardhuan bagi setiap individu dalam setiap keadaan; zahir dan batin, tidak kira sama ada ketika Rasulullah SAW masih hidup atau selepas kewafatannya, ketika kewujudannya atau ketiadaannya. Tidak jatuh kewajipan bertawassul dengan keimanan dan ketaatan kepada Baginda SAW daripada seseorang makhluk dalam apa jua keadaan sekali pun setelah tertegaknya hujjah. Bahkan, ia tidak akan gugur dengan apa pun jua alasan. Tidak ada jalan untuk menuju kepada kemuliaan dan rahmat Allah, serta terselamat daripada kehinaan dan siksaanNya, melainkan dengan bertawassul dengan keimanan dan ketaatan kepada Baginda SAW. Rasulullah SAW adalah pemberi syafa’at kepada makhluk, pemilik maqam yang terpuji yang amat dicemburui oleh manusia yang terdahulu dan terkemudian. Baginda SAW adalah pemberi syafa’at yang paling agung kedudukannya dan paling tinggi pangkatnya di sisi Allah.

Allah telah berfirman tentang Musa AS: “Dan adalah dia seorang yang mempunyai kedudukan yang terhormat di sisi Allah.” (Al-Ahzaab: 69) Allah juga telah berfirman tentang al Masih AS: “Dia merupakan seorang yang terkemuka di dunia dan akhirat.” (Aali Imran: 45). Manakala Nabi Muhammad SAW merupakan nabi yang paling tinggi pangkat dan kedudukannya daripada nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain, tetapi syafa’at dan doa Baginda SAW hanya dapat dimanfaatkan oleh orang yang disyafa’atkannya dan didoakannya. Maka sesiapa yang didoakan dan disyafa’atkan oleh Rasulullah SAW, barulah dia boleh bertawassul kepada Allah dengan syafa’at dan doa Baginda SAW tersebut, sebagaimana para Sahabat RA bertawassul kepada Allah dengan doa dan syafa’at Baginda SAW. Begitu juga sebagaimana manusia bertawassul kepada Allah pada hari Kiamat dengan doa dan syafa’at Baginda SAW.”

Dalam al Fatawa al Kubra (1/140), Syeikh Ibnu Taimiyyah ditanya: Adakah harus bertawassul dengan Nabi SAW ataupun tidak? Maka beliau menjawab: Alhamdulillah, adapun bertawassul dengan keimanan dengan Nabi SAW, kasih dan ketaatan kepada Baginda SAW, bacaan salawat dan salam ke atas Baginda SAW, doa-doa dan syafa’atnya dan sebagainya yang merupakan perbuatan Baginda SAW dan hamba-hamba Allah yang sememangnya diperintahkan menunaikan haknya, maka ia adalah disyariatkan dengan persepakatan kaum Muslimin.

Sayyid Muhammad `Alawi, berkata: Berdasarkan pendapat Syeikh Ibnu Taimiyyah ini, dapat diambil dua faedah:

1. Orang Islam yang mentaati, mengasihi, mengikut perintah dan membenarkan syafa’at Baginda SAW, disyariatkan supaya bertawassul kepada Baginda SAW dengan ketaatan dan kasihnya terhadap Baginda SAW serta kepercayaannya tentang adanya syafa’at tersebut.

Sesungguhnya apabila kami bertawassul dengan Nabi SAW, maka Allah SWT menyaksikan bahawa kami bertawassul dengan keimanan dan kecintaan terhadap Baginda SAW, kelebihan dan kemuliaannya. Inilah maksud asal tawassul dan tidak tergambar langsung bagi seseorang yang bertawassul dengan Nabi SAW, tawassul dengan makna yang lain. Begitu juga, tidak mungkin kaum Muslimin yang bertawassul, bertawassul dengan cara yang lain, cuma orang yang bertawassul kadangkala menjelaskan makna tersebut secara terang-terangan dan kadangkala tidak kerana bersandarkan kepada maksud asal tawassul iaitu beriman dan mengasihi Nabi SAW, tidak dengan makna yang lain.

2. Di antara faedah yang boleh diambil dari perkataan Syeikh Ibnu Taimiyyah, bahawa orang yang didoakan oleh Rasulullah SAW, sah bertawassul kepada Allah dengan doa Baginda SAW baginya. Sesungguhnya telah disebut dalam hadith, bahawa Rasulullah SAW mendoakan umatnya sebagaimana yang disebut di dalam banyak hadith. Di antaranya, hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah RA berkata:

“Tatkala aku melihat Nabi SAW dalam keadaan baik, aku berkata, “Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah untukku.” Maka Baginda SAW bersabda, “Ya Allah! Ampunilah ‘Aisyah dari dosanya yang terdahulu dan yang terkemudian, yang dilakukan secara sembunyi dan terang-terangan.” Mendengarnya, ‘Aisyah ketawa hingga kepalanya jatuh ke pangkuannya akibat terlalu gembira. Maka Rasulullah SAW bersabda, “Adakah doaku menggembirakanmu?” Maka jawabnya, “Kenapa tidak, doamu itu begitu menggembirakanku.” Sabda Baginda SAW, “Demi Allah! Sesungguhnya ia adalah doaku untuk umatku yang aku panjatkan dalam setiap solat.” (Hadith ini telah diriwayatkan oleh al Bazzar dan rijalnya (perawinya) adalah rijal yang sohih, melainkan Ahmad ibn Mansur al Ramadi merupakan seorang yang thiqah. (Demikian juga sebagaimana yang disebutkan di dalam Majma’ al Zawaid 9/243).

Oleh yang demikian, setiap Muslim sah bertawassul kepada Allah dengan cara sedemikian. Umpamanya, dengan menyatakan:
“Ya Allah! Sesungguhnya NabiMu, Muhammad SAW telah berdoa untuk umatnya, dan aku termasuk salah seorang daripada umat ini. Maka aku bertawassul kepadaMu dengan doa ini supaya Engkau mengampunkan dosaku dan merahmatiku”, hingga akhir yang dikehendakinya. Apabila seseorang itu mengucapkan sedemikian, maka dia tidak keluar daripada cara bertawassul yang disepakati keharusannya oleh seluruh ulama’ kaum Muslimin.

Sekiranya seseorang itu berkata: “Ya Allah! Sesungguhnya aku bertawassul kepadaMu dengan kemuliaan nabiMu, Muhammad SAW.” Maka dia telah bertawassul tidak secara terang-terangan terhadap apa yang diniatkannya dan dipahatkan di dalam hatinya yang merupakan maksud setiap Muslim. Namun, tujuannya tetap tidak terkeluar dari had ini kerana orang yang bertawassul dengan Nabi SAW tidak bermaksud sedemikian melainkan makna-makna tersebut bersangkut paut dengan keperibadian Baginda SAW yang berupa kecintaan, taqarrub Baginda SAW dengan Allah, pangkat, kedudukan, kelebihan, doa dan syafa’at Baginda SAW, terutamanya ketika Baginda SAW berada di alam barzakh.

Di alam tersebut, Baginda SAW dapat mendengar ucapan salawat dan salam umatnya dan membalas ucapan tersebut sebagaimana yang didatangkan di dalam hadith daripada Nabi SAW: “Kehidupanku adalah baik bagi kamu; kamu berbicara dan dibicarakan bagi kamu. Kewafatanku juga adalah baik bagi kamu; amalan kamu diperlihatkan kepadaku. Maka apa yang aku lihat daripada kebaikan, aku memuji Allah ke atasnya. Apa yang aku lihat daripada kejahatan, maka aku beristighar (memohon keampunan) kepada Allah untuk kamu.”
(al-Bazzar dan al Haithami di dalam Majma’ al Zawaid (9/24))

Ini adalah tuntutan secara pertengahan bagi isu ini, agar keadaan huru hara dikalangan kaum muslimin dapat dielak. Sepatutnya saudara MOHD HAIRI NONCHI yang dikenali sebagai pengikut jalan salaf, tidak melanggar pendapat imam salaf seperti Al Imam Ibnu Wahab dan Al Imam Ibnu Tamiyyah, kerana kedua dua imam ini telah menjelaskan permasalahan ini. Dan sewajibnya beliau tidak mengeluarkan kenyataan yang berbentuk makian atau cacian kerana para imam salaf & khalaf mengatakan bahawa isu ini adalah khilaf dari segi cara dan tidak menjerus kepada Akidah. MOHD HAIRI NONCHI dan para pendokong beliau, sebaikanya mempelajari bab ini secara mendalam dan meneladani para Ulama salaf & khalaf menghadapi isu ini. Tindakan beliau hanya menimbulkan perbalahan sesama orang islam dan hal ini adalah amat tegah dalam islam. Tidak sepatutnya, terus menghukum berdasarkan gambar ataupun perbualan manusia, sebaiknya pergi bertanya terlebih dahulu dan bersoal jawab mengenai hal tersebut. Bagi mengelakkan FITNAH dan DUSTA.


"Rasulullah SAW telah bersabda: Janganlah kamu saling dengki mendengki, tipu menipu, benci membenci, belakang membelakangi antara satu sama lain. Janganlah sebahagian kamu menjual barangan atas jualan orang lain. Hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi seorang muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan menghinanya. Ketaqwaan itu di sini - sambil Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali - Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap orang muslim ke atas muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya."
(Riwayat Muslim)


Sampai disini sahaja, secara serba ringkas saya ingin menegur tindakan SAUDARA MOHD HAIRI NONCHI. Saya memohon maaf kepada beliau, kerana menegur secara terbuka, ini adalah kerana tujuan saya juga kepada para pendokong beliau yang sewenang-wenangnya mengatakan sesuatu yang tidak kena pada tempatnya. Semoga persaudaraan kaum Muslimin kian subur dengan keiman,ketaqwaan dan keharmonia sejagat.

“..Wahai Tuhan kami, Sesungguhnya kami beriman. Oleh itu, ampunkan dosa-dosa kami dan pelihara kami daripada azab neraka”. Al-Imran, Ayat 16.

Rujukan.
1.      Isu akidah antara salaf & khalaf bab 3 adakah tawassul itu syirik, Dr Yusuf Al Qardhawi.
2.      Panel Penyelidikan Yayasan Sofa Negeri Sembilan ,Utusan Malaysia, 18 januari 2011.
3.      Pondokhabib.Wordpress.Com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...