Pages

Harus beramal dengan hadith da`if.

Mereka yang berpegang dengan pendapat ini sependapat dengan pendapat pertama di mana tidak boleh beramal dengan hadith da`if dalam perkara akidah dan hukum. Sebaliknya tidak sependapat dengan golongan pertama, apabila mereka membolehkan beramal dalam perkara fada`il al-a`mal, pengajaran dan kisah.

Pendapat ini terbahagi kepada dua :

a. Harus beramal dengan hadith da`if dalam perkara fada`il dan akhlak yang mulia secara mutlak. Ini merupakan pendapat kebanyakan ulama` muhaddithin al-mutaqaddimin seperti Ahmad, Ibn al-Mahd, Ibn al-Mubarak, Sufyan al-Thawri, Sufyan al bin `Uyaynah, Abu Zakariyya al-Anbari. (al-khatib al-Baghdadi,) Dan al-Sakhawi daripada kalangan mutaakhirin. (al-qasimi).

b. Harus beramal dengan hadith da`if dalam perkara fada`il dengan beberapa syarat. Syarat beramal dengan hadith da`if dalam perkara fada`il tidak diperincikan oleh para ulama` sebelum Ibn Hajar seperti Ibn al-Salah dan al-Nawawi, walaupun syarat tersebut sudah wujud di kalangan muhaddithin. Ibn Hajar telah memperincikan syarat-syarat tersebut. :

i. Hadith itu tidak terlalu lemah.

Riwayat perawi yang berdusta dan dituduh berdusta, yang meriwayatkan secara bersendirian adalah tidak diterima, begitu juga yang banyak kesilapannya. Syarat ini dikatakan telah sepakat para ulama` seperti yang dipetik oleh Abu Sa`id al-`Ala`i. (adib al-salih)

Perlu disebut di sini, ulama` yang mengharuskan beramal dengan hadith yang terlalu lemah. Ternyata syarat ini bukanlah suatu yang asing, malah hampir sama dengan yang disebut oleh madhab kedua diatas.

ii. Termasuk di bawah dasar umum yang diterima pakai.

Ini terjadi sama ada hadith tersebut diriwayatkan melalui banyak jalan, tidak memadai hanya satu jalan atau dua jalan sahaja, yang boleh menyokong hadith yang da`if tersebut atau ia selari dengan semangat hadith sahih atau bertepatan dengan zahir al-Quran. (al-tazi).

iii. Tidak beriktikad semasa beramal dengannya yang hadith tersebut benar-benar bersumber daripada Rasulullah s.a.w. Malah hadith tersebut diamalkan semata-mata sebagai ihtiyat (hati-hati) sahaja. Ini adalah untuk mengelakkan daripada terjadinya menyandarkan sesuatu kepada Nabi perkara yang disabdakan.

Menurut al-Suyuti, syarat ini disebutkan oleh Izz bin Abd al-Salam daripada ibn Daqiq al-`Id sebelum Ibn Hajar, di mana Ibn Hajar memetik daripada kedua-duanya (al-suyuti) antara berpegang dengan pendapat ini ialah Ibn Hajar dan Abu Hassan bin Qattan. (al-tazi).

-Ulum al-Hadith-

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...