KEPADA MOHD HAIRI NONCHI. Saudara seIslam,
disini saya ingin menjawab dialog yang bersifat FITNAH & DUSTA atas
nama SUFI. Untuk pertama sekali, saya tidaklah menganggungkan para SUFI
sehingga saya mencela Hairi Nonci, jauh sekali saya bersifat sedemikian,
“Sesungguhnya orang-orang mukmin
adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah
kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.”
(Surah al-Hujuraat 49:10)
Nabi SAW. bersabda maksudnya :
"Barang siapa berpecah belah, maka dia bukanlah dari golongan kami (bukan
umat Nabi Muhammad SAW). Rahmat Allah berada bersama-sama dengan jemaah dan
sesungguhnya serigala hanya akan memakan kambing yang menyendirikan diri."
(Hadis Riwayat Tabarani)
Namun, saya
ingin menjawab dialog beliau, agar perselisihan antara orang islam dapat
dielakkan dan perpecahan serta pergaduhan tidak akan timbul ditengah tengah
umat islam pada hari ini, khususnya di Malaysia.
"Yang paling dikasihi oleh Allah
di antara kamu adalah : mereka yang baik akhlak, yang merendahkan sayapnya
(diri), yang suka dengan orang dan yang disukai orang. Manakala yang dimurkai
oleh Allah adalah : mereka yang pergi membawa fitnah, yang menceraiberaikan di
antara saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah akan kesalahannya"
(Hadis riwayat Tabharani dan Abu
Hurairah r.a.)
1.
Dialog
berkenan adalah mengenai tawassul, dimana maksud tawassul ada mengambil
perantara bagi mencapai sesuatu tujuan. Sesuatu tujuan itu tidak dapat dicapai
melainkan dengan perantaran yang betul. Antara tawassul yang disepakati menurut Prof
Dr Yusuf Al Qardhawi ada 4.
I.
Tawassul
kepada Allah S.w.t dengan Zat-Nya.
II.
Tawassul
dengan Nama dan Sifat Allah S.w.t
III.
Tawassul
dengan Amalan soleh.
IV.
Tawassul
dengan Pemuda Soleh supaya menyeru Manusia beriman.
2.
Dan
terdapat Tawassul yang mempunyai khilaf dikalangan para ulama. Yaitu, tawassul
kepada Allah s.w.t dengan zat Nabi Muhammad s.a.w , para nabi malaikat, ataupun
orang soleh.
Orang yang menggunakan tawassul ini dengan meminta kepada Allah S.w.t
dengan kemuliaan, hak, ataupun dengan pangkat Nabi yang dikurniakan oleh Allah
kepada baginda. Mereka meminta supaya menjamin permintaan dan memberi apa yang
diminta. Seperti di Syafaatkan di akhirat kelak.
Imam Hasan Al-Banna ,mengatakan, “Doa yang disertakan dengan tawassul
kepada Allah S.w.t melalui satu daripada penciptaan-Nya. Ini menjadi khilaf
pada masalah cabang (farii) dalam menyatakan cara beramal dan bukan semua
masalah akidah.”Akibat daripada pendapat imam hasan al-banna ini, telah menimbulkan
kemarahan golongan salaf.
Sepatutnya, masalah ini tidak perlu diperbesarkan sehingga mencetuskan
pergaduhan dan pertelingkahan serius dikalangan orang islam. Dan, Imam Hasan
Al-Banna mengingkatkan, “ini adalah urusan khilafiah antara imam-imam dan
khilaf itu daripada aspek cara-cara berdoa. Ia bukan masalah akidah.
Perbahasan mengenai ini sudah jelas dalam kitab kitab 4 mazhab
(Hanafi,Maliki,Syafi & Hanbali). Ramai antara mereka yang mengharuskan
tawassul dengan rasul dan orang soleh dalam kalangan hamba Allah S.w.t. Meskipun
begitu, terdapat juga kumpulan yang menentang dan mempunyai hujah mengenai hal
ini, mereka menolak seperti yang berlaku dalam masalah khilafiah.
Tawassul adalah berkaitan dengan amalan,bukannya berkaitan dengan
akidah. Tawassul adalah perbahasan ilmu fiqh, bukan tauhid. Dan antara imam
salaf yang mengharuskan tawassul ialah imam As-Syaukani.
Berkata al-Imam al-Hafiz al-Darimi di dalam kitabnya al-Sunan, bab
kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW selepas
kewafatannya: Pada suatu masa, penduduk Madinah ditimpa kemarau yang dahsyat.
Maka mereka mengadu kepada Sayyidah Aisyah RA, lalu Sayyidah Aisyah RA berkata,
“Perhatikanlah makam Rasulullah SAW. Maka buatlah sebuah tingkap menghadap ke
arah langit hingga tiada satu atap yang menghalang di antara maqamnya dengan
langit.”
Aus ibnu Abdullah berkata: “Maka mereka pun membuat tingkap tersebut.
Lalu selepas itu, kami diturunkan hujan hingga rumput-rumput tumbuh dengan
subur dan unta-unta menjadi gemuk, (seolah-olah) badannya pecah kerana
banyaknya lemak. Maka tahun itu dinamakan Tahun al-Fatq (binatang gemuk dan
berlemak) (Sunan al-Darimi Jld 1, H: 43).”
Al-‘Allaamah al-Faqiih Zain bin Ibrahim Bin Sumaith. Dalam karyanya yang
berbentuk soal-jawab yang berjudul “al-Ajwibah al-Ghaaliyah”, beliau
(hafizahUllah) menjelaskan berhubung persoalan ini. Pada halaman 77 – 79,
beliau menulis:-
S: Jika bertawassul dengan orang-orang yang telah meninggal itu hukumnya
jaiz (harus), maka kenapakah Khalifah ‘Umar bin al-Khaththab bertawassul dengan
Sayyidina ‘Abbas dan bukannya dengan Junjungan Nabi s.a.w.?
J: Telah menjawab para ulama : Adapun tawassul Sayyidina ‘Umar r.a.
dengan Sayyidina ‘Abbas r.a. bukanlah dalil yang menunjukkan ketidakharusan
bertawassul dengan orang yang telah wafat meninggal dunia. Bahawasanya tawassul
Sayyidina ‘Umar dengan Sayyidina ‘Abbas dan bukannya dengan Junjungan Nabi
s.a.w. adalah untuk menjelaskan kepada manusia bahawa tawassul dengan selain
Junjungan Nabi s.a.w. adalah harus yakni boleh (jaiz) dan tidak apa-apa (yakni
tidak berdosa). Dan dikhas bertawassul dengan Sayyidina ‘Abbas r.a. daripada
sekalian sahabat adalah untuk menzahirkan kemuliaan keluarga Junjungan
Rasulullah s.a.w.
Dr Yusuf Al Qardhawi berkata; “Bahkan ijtihad menyatakan, harus
bertawassul.” Beliau, menghurai pandangan Al Imam Ibnu Tamiyyah dalam
permasalahan ini, “ beliau tidak melarang tawassul melainkan penulis lebih suka
kepada sesuatu yang disepakati dan lebih baik. Justeru, beliau tidak
mengingkari pada masalah khilaf.”
Syeikh ibnu wahab yang dikenali dengan ketegasan dan syadid, berkata;
“Kami melihatnya (apa yang berkaitan dengan tawassul ini) dengan mengatakan
bahawa kami tidak melarang sesiapa yang melakukannya.” Juga Imam Ibnu
Tamiyah,walaupun menolak tawassul, beliau tidak terlalu syadid sehingga ke
tahap mengkafirkan ataupun mengatakan ia berdosa.
Berkata Syeikh Ibnu Taimiyyah di dalam kitabnya Qa’idah Jalilah fi al
Tawassul wa al Wasilah (H: 5) ketika membicarakan tentang firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan carilah
wasilah (jalan/perantara) untuk mendekatkan diri kepadaNya.” (Al-Maaidah: 35),
“Mencari wasilah kepada Allah hanya berlaku bagi orang yang bertawassul
kepada Allah dengan keimanan terhadap Nabi Muhammad SAW dan ikutan terhadap
Sunnahnya. Bertawassul dengan keimanan dan ketaatan kepada Baginda SAW,
merupakan kefardhuan bagi setiap individu dalam setiap keadaan; zahir dan
batin, tidak kira sama ada ketika Rasulullah SAW masih hidup atau selepas
kewafatannya, ketika kewujudannya atau ketiadaannya. Tidak jatuh kewajipan
bertawassul dengan keimanan dan ketaatan kepada Baginda SAW daripada seseorang
makhluk dalam apa jua keadaan sekali pun setelah tertegaknya hujjah. Bahkan, ia
tidak akan gugur dengan apa pun jua alasan. Tidak ada jalan untuk menuju kepada
kemuliaan dan rahmat Allah, serta terselamat daripada kehinaan dan siksaanNya,
melainkan dengan bertawassul dengan keimanan dan ketaatan kepada Baginda SAW.
Rasulullah SAW adalah pemberi syafa’at kepada makhluk, pemilik maqam yang
terpuji yang amat dicemburui oleh manusia yang terdahulu dan terkemudian.
Baginda SAW adalah pemberi syafa’at yang paling agung kedudukannya dan paling
tinggi pangkatnya di sisi Allah.
Allah telah berfirman tentang Musa AS: “Dan adalah dia seorang yang
mempunyai kedudukan yang terhormat di sisi Allah.” (Al-Ahzaab: 69) Allah juga
telah berfirman tentang al Masih AS: “Dia merupakan seorang yang terkemuka di
dunia dan akhirat.” (Aali Imran: 45). Manakala Nabi Muhammad SAW merupakan nabi
yang paling tinggi pangkat dan kedudukannya daripada nabi-nabi dan rasul-rasul
yang lain, tetapi syafa’at dan doa Baginda SAW hanya dapat dimanfaatkan oleh
orang yang disyafa’atkannya dan didoakannya. Maka sesiapa yang didoakan dan
disyafa’atkan oleh Rasulullah SAW, barulah dia boleh bertawassul kepada Allah
dengan syafa’at dan doa Baginda SAW tersebut, sebagaimana para Sahabat RA
bertawassul kepada Allah dengan doa dan syafa’at Baginda SAW. Begitu juga
sebagaimana manusia bertawassul kepada Allah pada hari Kiamat dengan doa dan
syafa’at Baginda SAW.”
Dalam al Fatawa al Kubra (1/140), Syeikh Ibnu Taimiyyah ditanya: Adakah
harus bertawassul dengan Nabi SAW ataupun tidak? Maka beliau menjawab:
Alhamdulillah, adapun bertawassul dengan keimanan dengan Nabi SAW, kasih dan
ketaatan kepada Baginda SAW, bacaan salawat dan salam ke atas Baginda SAW,
doa-doa dan syafa’atnya dan sebagainya yang merupakan perbuatan Baginda SAW dan
hamba-hamba Allah yang sememangnya diperintahkan menunaikan haknya, maka ia
adalah disyariatkan dengan persepakatan kaum Muslimin.
Sayyid Muhammad `Alawi, berkata: Berdasarkan pendapat Syeikh Ibnu
Taimiyyah ini, dapat diambil dua faedah:
1. Orang Islam yang mentaati, mengasihi, mengikut perintah dan
membenarkan syafa’at Baginda SAW, disyariatkan supaya bertawassul kepada
Baginda SAW dengan ketaatan dan kasihnya terhadap Baginda SAW serta
kepercayaannya tentang adanya syafa’at tersebut.
Sesungguhnya apabila kami bertawassul dengan Nabi SAW, maka Allah SWT
menyaksikan bahawa kami bertawassul dengan keimanan dan kecintaan terhadap
Baginda SAW, kelebihan dan kemuliaannya. Inilah maksud asal tawassul dan tidak
tergambar langsung bagi seseorang yang bertawassul dengan Nabi SAW, tawassul
dengan makna yang lain. Begitu juga, tidak mungkin kaum Muslimin yang
bertawassul, bertawassul dengan cara yang lain, cuma orang yang bertawassul
kadangkala menjelaskan makna tersebut secara terang-terangan dan kadangkala
tidak kerana bersandarkan kepada maksud asal tawassul iaitu beriman dan
mengasihi Nabi SAW, tidak dengan makna yang lain.
2. Di antara faedah yang boleh diambil dari perkataan Syeikh Ibnu
Taimiyyah, bahawa orang yang didoakan oleh Rasulullah SAW, sah bertawassul
kepada Allah dengan doa Baginda SAW baginya. Sesungguhnya telah disebut dalam
hadith, bahawa Rasulullah SAW mendoakan umatnya sebagaimana yang disebut di
dalam banyak hadith. Di antaranya, hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah RA
berkata:
“Tatkala aku melihat Nabi SAW dalam keadaan baik, aku berkata, “Wahai
Rasulullah! Berdoalah kepada Allah untukku.” Maka Baginda SAW bersabda, “Ya
Allah! Ampunilah ‘Aisyah dari dosanya yang terdahulu dan yang terkemudian, yang
dilakukan secara sembunyi dan terang-terangan.” Mendengarnya, ‘Aisyah ketawa
hingga kepalanya jatuh ke pangkuannya akibat terlalu gembira. Maka Rasulullah SAW
bersabda, “Adakah doaku menggembirakanmu?” Maka jawabnya, “Kenapa tidak, doamu
itu begitu menggembirakanku.” Sabda Baginda SAW, “Demi Allah! Sesungguhnya ia
adalah doaku untuk umatku yang aku panjatkan dalam setiap solat.” (Hadith ini
telah diriwayatkan oleh al Bazzar dan rijalnya (perawinya) adalah rijal yang
sohih, melainkan Ahmad ibn Mansur al Ramadi merupakan seorang yang thiqah.
(Demikian juga sebagaimana yang disebutkan di dalam Majma’ al Zawaid 9/243).
Oleh yang demikian, setiap Muslim sah bertawassul kepada Allah dengan
cara sedemikian. Umpamanya, dengan menyatakan:
“Ya Allah! Sesungguhnya NabiMu, Muhammad SAW telah berdoa untuk umatnya,
dan aku termasuk salah seorang daripada umat ini. Maka aku bertawassul kepadaMu
dengan doa ini supaya Engkau mengampunkan dosaku dan merahmatiku”, hingga akhir
yang dikehendakinya. Apabila seseorang itu mengucapkan sedemikian, maka dia
tidak keluar daripada cara bertawassul yang disepakati keharusannya oleh
seluruh ulama’ kaum Muslimin.
Sekiranya seseorang itu berkata: “Ya Allah! Sesungguhnya aku bertawassul
kepadaMu dengan kemuliaan nabiMu, Muhammad SAW.” Maka dia telah bertawassul
tidak secara terang-terangan terhadap apa yang diniatkannya dan dipahatkan di
dalam hatinya yang merupakan maksud setiap Muslim. Namun, tujuannya tetap tidak
terkeluar dari had ini kerana orang yang bertawassul dengan Nabi SAW tidak
bermaksud sedemikian melainkan makna-makna tersebut bersangkut paut dengan
keperibadian Baginda SAW yang berupa kecintaan, taqarrub Baginda SAW dengan
Allah, pangkat, kedudukan, kelebihan, doa dan syafa’at Baginda SAW, terutamanya
ketika Baginda SAW berada di alam barzakh.
Di alam tersebut, Baginda SAW dapat mendengar ucapan salawat dan salam
umatnya dan membalas ucapan tersebut sebagaimana yang didatangkan di dalam
hadith daripada Nabi SAW: “Kehidupanku adalah baik bagi kamu; kamu berbicara
dan dibicarakan bagi kamu. Kewafatanku juga adalah baik bagi kamu; amalan kamu
diperlihatkan kepadaku. Maka apa yang aku lihat daripada kebaikan, aku memuji
Allah ke atasnya. Apa yang aku lihat daripada kejahatan, maka aku beristighar
(memohon keampunan) kepada Allah untuk kamu.”
(al-Bazzar dan al Haithami di dalam Majma’ al Zawaid (9/24))
Ini adalah tuntutan secara pertengahan bagi isu ini, agar keadaan huru
hara dikalangan kaum muslimin dapat dielak. Sepatutnya saudara MOHD HAIRI NONCHI yang dikenali sebagai
pengikut jalan salaf, tidak melanggar pendapat imam salaf seperti Al Imam Ibnu
Wahab dan Al Imam Ibnu Tamiyyah, kerana kedua dua imam ini telah menjelaskan
permasalahan ini. Dan sewajibnya beliau tidak mengeluarkan kenyataan yang
berbentuk makian atau cacian kerana para imam salaf
& khalaf mengatakan bahawa isu ini adalah khilaf dari segi cara dan tidak
menjerus kepada Akidah. MOHD HAIRI NONCHI dan para pendokong beliau, sebaikanya
mempelajari bab ini secara mendalam dan meneladani para Ulama salaf &
khalaf menghadapi isu ini. Tindakan beliau hanya menimbulkan perbalahan sesama
orang islam dan hal ini adalah amat tegah dalam islam. Tidak sepatutnya, terus
menghukum berdasarkan gambar ataupun perbualan manusia, sebaiknya pergi
bertanya terlebih dahulu dan bersoal jawab mengenai hal tersebut. Bagi
mengelakkan FITNAH dan DUSTA.
"Rasulullah SAW telah bersabda: Janganlah kamu saling dengki mendengki,
tipu menipu, benci membenci, belakang membelakangi antara satu sama lain.
Janganlah sebahagian kamu menjual barangan atas jualan orang lain. Hendaklah
kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara
bagi seorang muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam
kehinaan), membohonginya dan menghinanya. Ketaqwaan itu di sini - sambil
Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali - Cukuplah seseorang itu
mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap orang
muslim ke atas muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya."
(Riwayat Muslim)
Sampai disini sahaja, secara serba ringkas saya ingin menegur tindakan
SAUDARA MOHD HAIRI NONCHI. Saya memohon maaf kepada beliau, kerana menegur secara
terbuka, ini adalah kerana tujuan saya juga kepada para pendokong beliau yang
sewenang-wenangnya mengatakan sesuatu yang tidak kena pada tempatnya. Semoga
persaudaraan kaum Muslimin kian subur dengan keiman,ketaqwaan dan keharmonia
sejagat.
“..Wahai Tuhan kami, Sesungguhnya kami beriman. Oleh itu, ampunkan
dosa-dosa kami dan pelihara kami daripada azab neraka”. Al-Imran, Ayat 16.
Rujukan.
1.
Isu
akidah antara salaf & khalaf bab 3 adakah tawassul itu syirik, Dr Yusuf Al
Qardhawi.
2.
Panel
Penyelidikan Yayasan Sofa Negeri Sembilan ,Utusan Malaysia, 18 januari 2011.
3.
Pondokhabib.Wordpress.Com
0 comments:
Post a Comment